Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada perasmian 'National Economic Outlook Conference 2018-2019' di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Langkah paling efektif bagi membantu golongan B40 dan M40 menghadapi kesan akibat peningkatan harga minyak sedang dikaji kerajaan.

Mengulas mengenai kenyataan Kementerian Kewangan semalam, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan telah diambil untuk mengumumkan langkah terbaik bagi menangani isu itu akan diumumkan apabila harga runcit petrol berada pada paras RM2.50 seliter selama tiga bulan berturut-turut.

Bagaimanapun langkah secara khusus masih belum diputuskan.

“Ada pelbagai langkah tetapi Perdana Menteri perlukan lebih masa untuk memikirkannya.

“Ini kerana bukan semua langkah sesuai untuk semua orang.

“Kerajaan kena fikirkan langkah terbaik dan paling berkesan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Ekonomi Kebangsaan di sini hari ini.

Semalam Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan yang mengatakan kerajaan akan mengenal pasti langkah untuk menangani kesan kenaikan harga minyak dunia apabila harga runcit petrol berada pada paras RM2.50 seliter selama tiga bulan berturut-turut. -MalaysiaGazette