KUALA LUMPUR – Kawalan ketat tahap micromanage ke atas sektor perubatan telah menyebabkan sesetengah doktor menanggalkan jubah doktor tetapi memilih untuk berkecimpung dalam bidang kecantikan.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPAPAM), Dr. Steven Chow berkata, doktor berkenaan antaranya menggunakan ilmu perubatan mereka untuk menyuntik botox atau menjual produk kecantikan.

“Banyak doktor kini berniaga dalam bidang kecantikan, keadaan ini tidak akan memberi nilai tambah kepada penjagaan kesihatan (primary care) di negara ini.

“Jika doktor biasa menghabiskan masa untuk memberi rawatan kecantikan, siapa pula yang akan memberi rawatan untuk penyakit denggi, asma dan tekanan darah tinggi?” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.

Beliau berkata, klinik swasta dikawal secara ketat dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta malahan menetapkan tempat dan cara penyusunan tisu dan mop.

Selain itu, jenis cat, ketinggian siling, saiz pintu, kemudahan telefon awam dan lokasi klinik juga dikawal.

Kata Steven, klinik antaranya dilarang untuk didirikan di kawasan riuh rendah.

“Selain itu, maklumat peribadi pesakit dilindungi secara berlapis masing-masing oleh garis panduan dan Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.

Beliau mengingatkan Kementerian Kesihatan bahawa kawalan dan undang-undang yang ‘menyukarkan’ doktor biasa akan ‘membunuh’ klinik-klinik swasta.

Steven berkata, walaupun perkhidmatan kesihatan dikawal secara keterlaluan, tetapi institusi penjagaan berbentuk pengurusan iaitu Managed Care Organizations (MPO) dan Third Party Administrator (TPA) tidak pula dikawal secara berkesan.