Mohd Sayuti Omar

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bukan anak jantan kalau masih bermain dengan hukum Allah sebagai ugutan kepada pemimpin yang keluar parti itu.

Seorang penganalisis politik mesra pembangkang, Mohd Sayuti Omar memberitahu, dengan mengingatkan kepada bekas Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah mengenai baiah yang dilafaz sebelum ini, memperlihatkan Tuan Ibrahim masih cetek ilmu politiknya.

“Cukuplah, henti menggunakan hukum agama untuk dijadikan tali rapuh mengikat ahli Pas. Berpolitiklah dengan rasional dan menggunakan akal yang sihat.

“Era mengikat orang dengan menggunakan agama sudah pun berlalu. Hari ini golongan yang arif mengenai hal ehwal agama dan hukumnya bukan lagi hanya terdiri daripada pemakai serban dan kopiah putih,” katanya menerusi blog beliau msomelayu.blogspot.com hari ini.

Mohd Sayuti berkata, Amiruddin yang mengisytiharkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), masih ada tanggungjawab terhadap baiah yang dilafazkan.

Katanya, Tuan Ibrahim masih mahu menggunakan baiah sebagai hukum dari Allah terhadap Amiruddin sepertimana dikenakan kepada wakil rakyat Pas lain.

“Tentulah sebelum buat keputusan Amiruddin sudah berfikir panjang dan telah mendapat keputusan jelas (yakin) berhubung apa yang dibimbangi Tuan Ibrahim itu.

“Bagi Amiruddin, sudah tentu dia telah yakin baiah itu tidak memakan diri dan ia sesuatu helah politik semata-mata yang tidak ada kena mengena dengan soal baiah.

“Pas jangan ingat hanya puak partinya sahaja takutkan neraka, orang juga tidak minat dengan neraka,” ujar beliau.

Menurut Mohd Sayuti, apa difahami Amiruddin yang mengambil keputusan meninggalkan Pas bahawa baiah yang diagung-agungkan oleh parti itu serta dijadikan senjata menakut-nakutkan ahli dan pemimpinnya hanya karut semata-mata.

Ia katanya, menakutkan bagi mereka yang bertaklik buta, manakala yang memahami agama dengan sumpah itu tidak pun berasa apa-apa, melainkan dianggap sebagai hantu yang bertujuan menakutkan.

Sehubungan itu, ujar beliau, Tuan Ibrahim tidak perlu menggunakan perkara yang karut untuk mengubat hati yang sakit, sebaliknya membiarkan saja Amiruddin meninggalkan Pas.

Berkenaan kenapa Amiruddin menyertai PPBM, bukan Pas, beliau menjelaskan, sudah tentu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kedah itu mempunyai strategi tertentu.

“Saya rasa pasti ada strategi tertentu setelah menyedari keadaan dan suasana politik di Kedah kini.

“Boleh jadi juga penyertaan beliau dalam PPBM itu kerana ia lebih memberi keselesaan kepadanya daripada menyertai PAN.

“Sepertimana kata Pengerusi PAN Kedah, Dr. Ismail Salleh, penyertaan Amiruddin ke dalam PPBM tetap menyuntik kekuatan untuk Pakatan Harapan (PH),” katanya. – MalaysiaGazette