Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

MACHANG- Badan Perhubungan UMNO Kelantan hampir siap merangka manifesto khas dalam misi menjadikan Kelantan milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Timbalan Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata manifesto itu dirangka berdasarkan pandangan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi, pegawai kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan cendekiawan yang berasal dari Kelantan.

“Manifesto berkenaan mula dirangka sejak dua bulan lepas dan akan diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan guru-guru berasal dari Kelantan yang bertugas di luar negeri itu di Sekolah Kebangsaan Machang 2 di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Mohamad Zahari Othman.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata UMNO Kelantan akan melancarkan manifesto itu dan diedar kepada rakyat Kelantan selepas Parlimen dibubarkan.

Beliau berkata walaupun kerajaan Persekutuan telah banyak melaksanakan projek pembangunan di negeri itu tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan kerana kerajaan negeri pentadbiran PAS tidak mampu melakukannya walaupun diberi peluang 27 tahun memerintah.

“Ini termasuk gagal membina sistem perparitan dan longkang yang lebih sempurna terutama di kawasan pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan rumah penduduk mudah dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat,” katanya.

Beliau yakin menerusi manifesto itu, rakyat Kelantan termasuk pengundi luar yang sayangkan negerinya akan memberi sokongan padu terhadap calon-calon BN yang bertanding pada pilihan raya tersebut.- BERNAMA