Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menggesa rakyat Malaysia menolak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, Malaysia akan menjadi negara bercelaru jika Dr Mahathir diberi peluang sekali lagi menjadi perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Hal ini kerana ketika era pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, berlaku tragedi Memali (1985), krisis dengan Raja-Raja Melayu, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tercetus gerakan reformasi.

“Selain itu, Dr Mahathir juga dilihat seperti orang “munafik” kerana beliau yang dahulu memasukkan Anwar ke dalam penjara, kini beliau mendesak supaya Anwar perlu dibebaskan pula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir itu dapat dibuktikan dengan jelas apabila bekas perdana menteri itu membuat kenyataan bersama peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley mendesak supaya Anwar segera dibebaskan selain sepakat mendakwa Anwar adalah tahanan politik.

Beliau turut mendakwa, sekiranya Dr Mahathir sekali lagi diberikan kepercayaan, maka tidak mustahil beliau akan kembali menghancurkan negara.

“Tambah pula kini segala “penyakit” yang berpunca ketika zaman Dr Mahathir cuba dibersihkan. Dan jangan pula nanti bertambah penyakit yang ada,” ujarnya.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan menegaskan, percakapan individu seperti Dr Mahathir boleh berbolak-balik pada bila-bila masa saja selepas beliau melakukan banyak pusingan U sebelum ini.

Beliau mengingatkan pemimpin dalam pakatan pembangkang agar mengkaji semula pelantikan Dr Mahathir sebagai pemimpin tertinggi dalam pergerakan mereka agar tidak menyesal di kemudian hari. – MalaysiaGazette