Felda akan mengambil semula tanahnya di Jalan Semarak.

KUALA LUMPUR – Ingatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa kepada pembangkang agar berpada-pada dalam memainkan isu berkaitan tanah Felda dan ‘gadai negara’ itu ada benarnya.

Kalau tidak diberi peringatan begitu, pembangkang akan bertambah hanyut dan lama kelamaan syok sendiri dengan melemparkan pelbagai tuduhan tanpa fakta terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Semua pihak perlu menyerahkan isu ‘kehilangan’ hak milik tanah Felda itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa sebarang gangguan.

“Membuat spekulasi hanya sia-sia kerana isu Felda adalah masalah rakyat, bukan melibatkan isu politik atau UMNO,” katanya.

Walaupun hakikatnya pembangkang tahu tuduhan itu tidak berasas sebab tidak mempunyai fakta yang tepat, tetapi mereka sengaja juga memainkannya dengan memutarbelit jalan cerita supaya rakyat terpengaruh dan membenci kerajaan.

Dalam kes tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur contohnya, sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dimaklumkan mengenainya, beliau telah mengarahkan kepada Felda supaya mengambil semula hartanah itu.

Dengan apa cara sekali pun, Felda mestik melakukannya termasuk berunding dengan peguam dan Peguam Negara atau mengambil tindakan di mahkamah sivil.

Yang penting pembangkang harus tahu, tanah masih ada di situ. Tiada siapa yang mencurinya atau menyembunyikannya atau membawanya lari ke luar negara.

Tanah itu masih berada bawah kawalan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Wilayah Persekutuan KualaLumpur (PTG) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kedua-dua pihak ini akan menghalang sebarang perpindahan lanjut oleh pemaju.

Dua agensi ini juga mempunyai kuasa untuk memberikan kelulusan pembangunan atau membatalkan sebarang kelulusan pembangunan bagi tanah berkenaan.

Antara kelemahan pembangkang dalam isu itu ialah tanah berkenaan masih lagi diklasifikasikan sebagai tanah institusi dengan banyak sekatan penggunaan tanah dan bagaimana ia hendak dimajukan.

Sekatan tersebut hanya boleh ditarik balik oleh PTG Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan DBKL.

Tambahan pula Felda mempunyai semua dokumen dan bukti bahawa tiada wang yang dibayar untuk tanah itu, dan jika perlu membawa ke mahkamah sivil untuk mengambil balik hartanah berkenaan.

Isu tanah Felda telah menjadi tajuk berita utama negara sekarang dan tiada pembeli atau juga sub kontraktor yang ‘waras’ akan berurusan dengan pemaju atau projek yang telah dinamakan secara terbuka.

Yang pasti, pemaju tidak dapat membangunkan tanah itu, malah mereka tidak boleh sama sekali menjualnya. Mereka hanya boleh melihat tanah itu kerana Felda akan memilikinya semula.

Begitu juga halnya dengan tuduhan pembangkang kononnya Malaysia sudah digadai atau dijual kepada China.

Annuar MusaApa yang berlaku menurut Annuar ialah Perdana Menteri sedang mencipta sejarah hubungan diplomatik yang lebih besar antara Malaysia dan China, bukannya menggadai negara ini.

“Kerjasama strategik kedua negara itu akan membuahkan impak yang sangat besar termasuk dalam bidang ekonomi dan perdagangan Malaysia,” katanya.

Beliau juga menyelar pembangkang yang menyebarkan cerita untuk menakut-nakutkan rakyat, kononnya Malaysia Sedang dijual melalui pelbagai perjanjian perniagaan bernilai lebih RM143 bilion yang ditandatangani dengan China semasa lawatan ke negara itu tahun lalu.

“Perdana Menteri berjaya untuk bersama negara China dalam melaksanakan dasar ‘One Belt One Road’ dan Maritime Silk Road yang dilaksanakan oleh sebuah kuasa ekonomi besar. Ini satu polisi yang tentunya mempunyai impak kepada ekonomi dan perdagangan global yang sangat besar,” tegas beliau.

Annuar turut menyanggah fitnah pembangkang bahawa negara ini telah dijajah oleh China menerusi projek pembangunan yang didakwa diberikan sepenuhnya kepada syarikat dari negara itu.

Kata beliau, projek East Cost Rail Link (ECRL) masih dimilik 100 peratus oleh Kementerian Kewangan dengan pinjaman mudah daripada Exim Bank dari China.

Begitu juga Bandar Malaysia, yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan melalui TRX City Sdn. Bhd.

“High Speed Rail (HSR) pun pemilik tendernya ialah kerajaan Malaysia dan Singapura, tetapi pemenang tender belum diumumkan.

“Impression Malacca misalnya, juga masih dimiliki oleh syarikat tempatan, Yong Tai Berhad dan Edra Energy oula menang melalui tender antarabangsa dan berjaya menjimatkan TNB dengan memperkenalkan tarif lebih kompetitif berbanding tarif zaman IPP kroni mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” ujar beliau.

Jelas sekali pembangkang cuba memanipulasi fakta itu demi untuk kepentingan politik mereka, sedangkan projek pembangunan itu adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.