Noh Omar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak dapat membina rumah untuk masyarakat Orang Asli di Selangor kerana kerajaan negeri gagal memberi kerjasama.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun peruntukan bagi tujuan itu sudah ada, tetapi dengan halangan dari kerajaan negeri, usaha kerajaan Persekutuan untuk membela nasib masyarakat Orang Asli yang memerlukan kediaman lebih selesa, terbantut.

Katanya, kerajaan Persekutuan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kelulusan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kita nak buat (bina) rumah kena ada tanah, tapi kalau kerajaan negeri halang atau tak beri kerjasama, apa saja peruntukan Perekutuan yang diberikan tidak dapat dilaksanakan,” katanya dalam program bersama Masyarakat Orang Asli di Hulu Selangor, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Noh memberi contoh, tanah di Felda Ulu Selangor yang dirancang untuk membina rumah generasi muda agensi itu tidak dapat diteruskan kerana Selangor diperintah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak prihatin dengan nasib dan masalah rakyat.

Kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mengumumkan peruntukan membina rumah untuk generasi muda Felda di Ulu Selangor. Duit sudah ada, tetapi masalahnya tanah.

“Apabila bukan Barisan Nasional (BN) yang memerintah kerajaan negeri, beginilah jadinya. Sebab itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini rakyat kena pilih BN dan berikan kemenangan kepada BN untuk memerintah Selangor.

“Banyak projek yang kita nak buat, tetapi kalau kerajaan negeri tidak beri tanah, kita tak boleh buat rumah. Seperti Felda, agensi ini kita punya, duit kita punya, tapi tanah kerajaan negeri punya. Ini yang susah,” katanya.

Noh turut menempelak sikap berkira kerajaan Selangor dalam menyediakan rumah mampu milik terutama kepada masyarakat Orang Asli dengan meletakkan harga tinggi iaitu RM90,000 seunit.

“Kerajaan negeri buat rumah harga RM90,000, kita buat rumah RM30,000 dengan skim sewa beli. Cukup tempoh sewa beli, rumah jadi hak milik pembeli,” katanya. – MalaysiaGazette