Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) menyerahkan bendera Barisan Nasional kepada wakil setiap negeri sambil diiringi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (dua kiri) dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd Nizam Omar (dua kanan) pada Hari Gerakan Belia 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 2018 di Homestay Banghuris, Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2018.

SEPANG – Selangor boleh dijadikan sebagai Bandar Belia 1Malaysia (1MYC), kata Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak.

Namun,  katanya,  tawarannya itu hanya boleh dilaksanakan jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali negeri itu daripada genggaman parti pembangkan pada PRU-14.

“Bandar Belia di Tanjung Malim sebelum ini kita buat, mungkin di Selangor, kalau berkuasa mungkin kita boleh wujudkan di Selangor ini,” katanya semasa berucap di Hari Gerakan Belia 4B Karnival Muhibbah petang tadi.

Terdahulu, dua kawasan dijadikan sebagai Bandar Belia 1Malaysia (1MYC) pada 2016 iaitu Tanjung Malim dan Putrajaya manakala dua lagi Tuaran, Sabah dan Lundu, Sarawak pula menyusul pada tahun ini.

Bandar yang mesra belia itu untuk menarik golongan muda mendiami kawasan tersebut dengan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti liputan perkhidmatan 4G, pusat seni selain akan turut membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin.-MalaysiaGazette