KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di lihat seolah-olah sudah ketandusan ‘modal politik’ sehingga  memutar belit kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi mendapatkan sokongan rakyat Sabah.

Menurut Exco Pemuda UMNO Sabah, Armizan Mohd Ali, kelantangan Shafie sejak akhir-akhir yang seolah-olah mementingkan rakyat Sabah adalah retorik semata-mata.

Jelas Armizan, Anifah pula sejak daripada awal karier politiknya sentiasa prihatin dan lantang membela nasib rakyat di negeri itu.

“Sejak bila Shafie bersuara tentang hak dan kepentingan Sabah? Pernahkah kita mendengar beliau bercakap memperjuangkan hak-hak Sabah ketika menjadi Menteri Persekutuan sejak 2004? Ketika Anifah memulakan secara terbuka diskusi berkaitan kepentingan Sabah, di mana suara Shafie yang ketika itu masih berada dalam kerajaan?

“Hari ini Shafie lantang mempertikaikan UMNO dan BN tidak memelihara kepentingan Sabah. Persoalannya, Shafie keluar daripada UMNO bukan kerana hak dan kepentingan Sabah tetapi marah kerana beliau digantung keahlian UMNO dan kecewa digugurkan daripada kabinet kerana isu lain dan bukannya kepentingan Sabah.

“UMNO dan BN buruk di mata beliau kerana isu kepentingan Sabah atau kepentingan Shafie dalam parti dan kerajaan? Rakyat di Sabah tahu perbandingan antara Shafie dan Anifah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Armizan, Anifah tidak pernah mempertikaikan status kewarganegaraan mana-mana individu secara spesifik tetapi demi agenda politik dan kuasa, segelintir ahli politik seperti Shafie serta ‘konco-konconya’ sanggup mengancam perpaduan kaum sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Tidak perlu diperjelaskan panjang lebar, sebagai anak Sabah, kita tahu realiti yang berlaku di negeri kita termasuk ancaman luar yang kita hadapi dan sebagai Menteri Luar, Anifah pastinya lebih arif.

“Hakikatnya, memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah itu bukan sekadar dalam konteks Sabah dalam Persekutuan Malaysia tetapi sebenarnya melindungi kedaulatan dan tampuk pemerintahan negeri,”ujarnya.

Pada 9 Februari lalu di satu majlis makan malam Tahun Baru Cina, Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis menyeru rakyat Sabah mempertahankan negeri itu dengan memastikan kerajaan negeri hanya dipimpin oleh penduduk Sabah tanpa mengira latar belakang kaum.

Warisan kemudian membuat laporan polis terhadap Anifah kerana didakwa menimbulkan kebencian kaum terhadap parti itu dan juga keturunan Shafie.

Armizan berkata, salah satu strategi memperjuangkan kepentingan Sabah adalah melantik rakyat Sabah ke jawatan-jawatan penting di peringkat kerajaan Persekutuan

Menurut beliau, pencapaian Shafie tidak seberapa berbanding Anifah dan menteri-menteri lain seperti Datuk Seri Rahman Dahlan (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Komunikasi dan Multimedia).-MalaysiaGazette