Home Politik BN ada peluang rampas Kelantan

BN ada peluang rampas Kelantan

Dr Ibrahim menyifatkan pemimpin Pas tidak layak memperjuangkan Islam kerana bersikap retorik.
Dr Ibrahim menyifatkan pemimpin Pas tidak layak memperjuangkan Islam kerana bersikap retorik.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berpotensi merampas Kelantan daripada Pas pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, pandangan itu berdasarkan akan berlaku  pertandingan tiga penjuru yang akan menyebabkan undi Pas berpecah.

“Memandang situasi sekarang, BN dijangka mendahului sebabnya tiga penjuru, undi Pas akan ditarik oleh Parti Amanah Negara (PAN),” katanya ketika sidang media.

Tambah Ibrahim, pengundi Kelantan sudah bosan dengan kepimpinan Pas yang terlalu lama tetapi gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, meskipun kini tampil dengan manifesto baru untuk meraih sokongan.

“Pas sudah begitu lama, BN ada harapan. Manifesto Pas baca sekali sahaja pun saya sudah tahu ia retorik sahaja.

“Tengok sahaja janjinya sebelum ini nak buat jambatan merentasi Sungai Kelantan yang menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat tapi sampai sekarang tak jadi.

“Projek Pelabuhan Darat Kuala Krai pun tidak jadi. Apa pun tidak jadi. Bersyarah sahaja. Kes hudud pun tidak selesai jadi jangan buang masa,” ujar Ibrahim.

Manakala Pakatan Harapan yang bakal diwakili oleh PAN pula disifatkan Tok Him hanya ‘pencelah’ yang sukar untuk menawan Kelantan.

“PH hanya pencelah bergantung dengan nasib untung sabut timbul untung batu tenggelam saya tidak menidakkan kehebatan saya bercakap realiti,”katanya lagi.

Untuk rekod, Pas memerintah Kelantan sejak 20 tahun lalu.-MalaysiaGazette