Pasukan penyelamat melalukan operasi menyelamat mangsa-mangsa feri karam di Tasik Toba. foto Agensi

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia meneruskan pencarian untuk mengesan mangsa yang selamat selepas feri yang membawa sekurang-kurangnya 80 penumpang karam di Tasik Toba, sebuah destinasi pelancongan yang popular di Sumatera Utara.

Kira-kira 18 orang telah diselamatkan dan seorang penumpang disahkan meninggal dunia.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada feri berkenaan ada membawa warga asing.

“Operasi bermula sejak sekitar 7 pagi tadi. Keadaan ini lebih baik daripada semalam,” kata Sri Hardianto, seorang pegawai di Kementerian Pengangkutan Indonesia.

Beliau berkata, kira-kira 80 penumpang dipercayai berada dalam kenderaaan itu semasa kejadian itu tetapi jumlah itu belum disahkan.

Ini kerana, Agensi Bencana Kebangsaan berkata, ada laporan yang belum disahkan mendakwa terdapat 130 orang di atas kapal feri.

Feri itu karam selepas dilanda gelombang tinggi dan angin kencang. – MalaysiaGazette