KUALA LUMPUR –   Persatuan Peniaga dan Pengimport Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berharap kerajaan akan membatalkan kutipan untuk permit import terbuka (Open AP) supaya orang ramai dapat membeli kereta import terpakai dengan harga lebih murah.

Presidennya, Zainuddin Abd. Rahman berkata, pihak mengalu-mengalukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan bersedia mengkaji semula bayaran yang mencecah RM10,000 setiap permit itu.

Katanya, kenderaan akan mempunyai ruang penurunan harga jika bayaran untuk permit tersebut dimansuhkan.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar suara hati kami, jualan kereta sedang mengalami penurunan mendadak berikutan daripada kelembapan ekonomi,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, pengusaha menggunakan Open AP untuk mengimport kereta terpakai yang berusia antara satu hingga lima tahun dari Jepun dan United Kingdom.

“Disebabkan oleh kadar pertukaran, kos kereta import telah meningkat kira-kira 30 peratus dan mengurangkan margin keuntungan.

“Keuntungan adalah kecil dan kami perlu menghabiskan stok untuk mengelakkan kerugian,” katanya.

Zainuddin turut meminta kerajaan menurunkan cukai  dalam negeri untuk kereta yang dianggarkan berkadar antara 75 hingga 105 peratus.

katanya, cukai yang dikenakan menyebabkan harga kereta tidak dapat diturunkan.