KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTV, HyppTV dan DarkWave Pictures Sdn. Bhd. meneruskan kerjasama dengan penghasilan sebuah drama bersiri terbaharu, Syurgaku Tak Sempurna.

Drama Michael Ang itu ditayangkan buat pertama kali dan secara eksklusif di HyppSensasi, HyppTV Saluran 116

Drama bersiri yang bersiaran selama 30 episod bermula 16 Januari lalu, setiap Isnin dan Selasa pukul 9.00 malam.

Drama bersiri ini menampilkan barisan pelakon berbakat besar seperti Shah Iskandar, Uqasha Senrose, Raja Ilya, Aedy Ashraff dan ramai lagi.

Mengulas mengenai drama terbaharu ini, Jeremy Kung, Naib Presiden Eksekutif, New Media, TM berkata, ini merupakan drama bersiri pertama yang diterbitkan untuk HyppSensasi HD untuk tahun 2017, saluran gaya hidup dan hiburan tempatan milik HyppTV.

“Setakat ini, sejumlah 19 buah drama bersiri tempatan telah diterbitkan secara eksklusifnya dan kami amat teruja dengan sambutan memberangsangkan yang kami terima.

“Ini memberi peluang kepada kami untuk terus membuat pelaburan bagi menerbitkan lebih banyak kandungan tempatan berkualiti tinggi selain dapat mengukuhkan lagi kerjasama kami bersama produksi-produksi dan bakat-bakat tempatan yang ada.

“Malah, beberapa drama terbitan kami mendapat perhatian daripada industri hiburan tempatan apabila turut dicalonkan dalam beberapa kategori di majlis Anugerah SkrinĀ  2016,” katanya

Syurgaku Tak Sempurna merupakan sebuah drama bersiri menampilkan plot cerita yang agak rumit dan mengisahkan tentang dua orang rakan baik yang lahir dari keluarga berada, Tengku Zarif (lakonan Shah Iskandar) dan Fariena (Uqasha Senrose) yang membesar mengikut haluan masing-masing apabila Zarif membuat keputusan untuk mengahwini seorang gadis kampung bernama Zalia (Raja Ilya).

Perkahwinan bahagia mereka dilanda satu tragedi apabila mereka kehilangan anak mereka dalam satu kemalangan dan mengakibatkan Zalia mengalami tekanan perasaan.

Keadaan menjadi semakin sukar apabila Zalia mendapati akibat daripada kemalangan tersebut, dia tidak boleh mempunyai zuriat lagi.

Beberapa episod drama ini menjalani pengembaraan di Yogyakarta dan menampilkan beberapa orang artis terkenal serta sinematografi yang menarik.

Peminat penyanyi Indonesia, Cakra Khan pula seharusnya menonton drama ini kerana lagu Mencari Cinta Sejati nyanyiannya telah dipilih sebagai lagu tema drama bersiri ini. – MalaysiaGazette