ANNUAR MUSA

KUALA LUMPUR –  Tan Sri Annuar Musa, yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dijadualkan pulang ke negara malam ini.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Ketereh itu sendiri menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada MalaysiaGazette.

Annuar Musa yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, beliau akan tiba dari Auckland pukul 8.30 malam ini dengan pesawat MH130 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya akan tiba ke KLIA 8.30 malam ini,” katanya.

Terdahulu beliau dalam status Facebook peribadinya mengharapkan mengharungi penerbangan  10 jam untuk sampai awal pagi sebelum pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuka pagi.

Sekumpulan wartawan dan jurugambar telah menunggu ketibaan Annuar Musa bagi mendapatkan komen berhubung pemecatan dan penyiasatan oeh SPRM sejak 6 pagi hari ini di KLIA sebelum disahkan jadual penerbangannya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi MARA.
Dalam kenyataan itu, SPRM menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menyiasat beberapa isu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa Annuar.
Dalam perkara ini siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan.
Dalam perkembangan berkaitan, siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman MARA.
MARA dalam satu mesyuarat tergempar menggantung tugas Annuar berkuat kuasa serta merta.
Jawatan beliau sebagai Pengerusi Pelaburan MARA Bhd. (PMB) juga digantung.
Dengan itu, semua tugas Annuar akan dipangku oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob yang telah mempengerusikan mesyuarat tergempar tersebut bersama Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md Yassin.
Menurut Yusof, Annuar telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut – MalaysiaGazette