KUCHING, 3 Feb -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersama Datuk Dr Sim Kui Hian ketika mengunjungi Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu sempena Tahun Baru Cina di Taman Kenyalang hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan membantu menentukan jumlah sebenar orang Cina di Sarawak yang tidak mempunyai kerakyatan bagi membolehkan mereka mendapat status warganegara Malaysia.

Presidennya, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian berkata beliau meminta pemimpin dan wakil rakyat daripada parti itu di seluruh Sarawak supaya membantu urusan tersebut.

“Kami sedang menunggu maklum balas daripada mereka untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya kepada pemberita di Lundu ketika menyertai para pemimpin Barisan Nasional (BN) lain mengiringi calon BN, Datuk Amar Jamilah Anu, ke pusat penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu semalam.

Sim berkata orang Cina tanpa kerakyatan di Sarawak bukan sahaja tinggal di pusat bandar, tetapi juga di luar bandar.

“Sesetengah mereka telah berkahwin dengan wanita dari Indonesia atau China. Apabila tidak dapat mendaftar perkahwinan mereka, maka anak-anak mereka yang lahir di negeri ini, menjadi manusia yang tidak mempunyai kerakyatan,” katanya.

Sim menyuarakan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di sini Jumaat lepas.

Sim berkata beliau gembira kerana kerajaan persekutuan komited untuk mencari penyelesaian terhadap isu itu.

Menurut Ahmad Zahid, sebuah pasukan petugas akan dibentuk di bawah Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak, khusus untuk menangani isu tersebut.

Beliau berkata pasukan itu juga akan menubuhkan unit bergerak untuk mengunjungi orang Cina tanpa kerakyatan yang tinggal di kawasan pedalaman.-MalaysiaGazette