Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melancarkan operasi berus cat.

PUCHONG – Walaupun penguatkuasaan berus cat dengan kandungan bulu babi telah dihentikan buat sementara waktu, tetapi peniaga masih mengambil langkah berjaga-jaga.

Selain menghentikan pembelian bekalan baharu, ada juga yang bertindak menyembunyi berus cat berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan penjualan berus cat tidak lain seperti perniagaan rokok seludup yakni peniaga hanya akan mengeluarkan produk itu apabila ditanya bakal pembeli.

Namun begitu, ada juga peniaga yang bertindak proaktif dengan memisahkan berus cat yang mengandungi bulu babi serta memberi penjelasan kepada pengguna.

“Ada pelanggan Melayu yang was-was dengan berus cat yang asal usulnya tidak dikenal pasti, dalam keadaan ini, kami akan mencadangkan mereka menggunakan berus golek,” kata seorang peniaga kepada China Press.

Untuk peniaga alat tulis yang menjual berus warna air pula, rata-ratanya tidak mengasingkan produk mereka atau menampalkan label.

Sesetengah peniaga memberitahu, mereka bersedia menjual produk berkenaan secara ‘bersembunyi’.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, pelabelan dijangka tidak menjejaskan kunjungan daripada pelanggan Muslim.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Michael Kang pula menggesa peniaga segera menyediakan label kandungan haiwan pada produk seperti yang diarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Kementerian tersebut telah menghentikan penguatkuasaan berus cat tetapi mahu peniaga menyediakan label dalam tempoh sebulan. – MalaysiaGazette