Ada peniaga mengakui secara 'jujur' bahawa tahun keluaran kereta yang diiklankan adalah 'dilewatkan' setahun. Menurut mereka, amalan itu adalah biasa dalam kalangan pedagang-pedagang kereta terpakai. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Awas ketika membeli kereta terpakai kerana sudah menjadi ‘tradisi’ sesetengah pedagang untuk menipu tahun pengeluaran kereta.

Dengan mengiklankan kereta keluaran 2011 sebagai 2010, peniaga berkenaan yang turut aktif di platform jualan dalam talian dapat mengaut keuntungan tambahan sehingga 10 peratus.

Ramai pembeli yang tidak melakukan pemeriksaan secara teliti akhirnya terpedaya dan terbeli kereta yang lebih ‘tua’ daripada disangkakan.

Sinchew Daily melaporkan, Mudah.my dan Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia masing-masing mengakui kemunculan amalan tidak beretika itu.

Tiga syarikat kereta terpakai yang dihubungi Sinchew Daily secara rambang telah mengiklankan tahun keluaran kereta yang tidak benar.

Daripadanya, ada peniaga yang mengakui secara ‘jujur’ bahawa tahun keluaran kereta yang diiklankan adalah ‘dilewatkan’ setahun. Menurut mereka, amalan itu adalah biasa dalam kalangan pedagang-pedagang kereta terpakai.

Bukan semua pedagang bagaimanapun adalah ‘sejujur’ peniaga berkenaan kerana ada yang sanggup menipu dalam iklan dan berbohong lagi walaupun ditanya oleh bakal pembeli.

Kereta terpakai mempunyai harga pasaran sendiri yang dipengaruhi oleh tahun keluaran. Perbezaan setahun akan menyebabkan nilainya menyusut sebanyak 10 peratus.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Iskandar Halim Sulaiman berkata, penyiaran iklan dengan maklumat tidak benar telah melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Katanya lagi, kementerian dalam tempoh 2014 hingga 2016 telah menerima 1,281 aduan mengenai kandungan iklan yang mengelirukan.

Menurut Iskandar Halim, hanya satu aduan mengenai iklan tahun keluaran kereta diterima pihaknya iaitu pada 2009.

“Pengguna perlu berwaspada ketika membeli kereta terpakai termasuk memeriksa kad kereta dan cuba memandu sebelum membeli,” katanya. – MalaysiaGazette