KUALA LUMPUR – Kerajaan mungkin menjadikan e-hailing seperti Uber dan Grab Car sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang sah pada tahun ini.

Kerajaan antaranya dijangka mengawal selia kereta yang boleh digunakan dalam e-hailing di mana kenderaan yang berusia tiga tahun ke atas atau mencatatkan 150,000 kilometer perlu diperiksa di Puspakom setiap setengah tahun.

Sinchew Daily melaporkan, kereta berusia lima tahun ke atas tidak boleh digunakan dalam perkhidmatan Uber atau Grab Car.

Selain itu, pemandu juga diwajibkan untuk membeli insurans pihak ketiga untuk memastikan kepentingan pemandu dan penumpang terjaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, kerajaan akan mengemukakan pindaan untuk beberapa akta pada Mac termasuk Akta SPAD 2010, Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

Menurutnya, semua pemandu Grab dan Uber perlu berdaftar dengan SPAD dan tidak boleh mempunyai rekod jenayah.

Ujarnya lagi, pemandu juga tidak boleh mempunyai rekod memandu secara berbahaya atau saman tunggakan yang banyak selain perlu mendapat pengesahan kesihatan daripada doktor. – MalaysiaGazette