Salah seorang mangsa yang dirempuh ketika berbasikal.

JOHOR BAHRU – Kesemua lapan mangsa yang terkorban dalam nahas rempuhan kereta di negeri itu sudah dituntut oleh waris masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, semua proses mengenai tuntutan jenazah selesai jam 3.50 petang tadi.

“Dua orang mangsa yang kritikal berada di ICU iaitu Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16 tahun dan Muhd Nazri Mahmudi 13 tahun kini sedang dirawat dan dipantau oleh pakar HSAJB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Azhar Amir 16 tahun, Muhammad Firdaus Danish Mohd Azahar 16 tahun, Haizad Kasrin 16 tahun, Muhammad Shahrul Nizam Maruddin 14 tahun, Mohamad Azrie Danish Zulkefli 14 tahun, Muhamad Shahrul Izzuwan Azzuraimee 14 tahun, dan Muhammad Harith Iskandar Abdullah, Fauzan Halmijah masing-masing 13 tahun.

Dalam kejadian malang itu, lapan maut manakala empat parah apabila basikal dinaiki mereka dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam arah Dataran Bandaraya, awal pagi tadi.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ke atas sekumpulan 16 penunggang basikal pada 3.30 pagi.

Berdasarkan maklumat sumber, dua yang parah dan masih dirawat dikenal pasti sebagai Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17 dan Muhammad Nazri Mahmudi, 14, manakala seorang lagi belum dikenalpasti identitinya.

Tiga lagi mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan kepala ialah Muhamad Farhan Che Mat, 16; Mohd Abdul Samad Abdul Kadir, 16 dan Muhammad Arif Salman, 15. -MalaysiaGazette.