KUALA LUMPUR – Keuntungan sebelum cukai pengeluar gula bertapis utama negara, MSM Malaysia Holdings Bhd, bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2016, susut kepada RM148.52 juta daripada RM372.13 juta dalam tempoh yang sama pada 2015 di sebalik peningkatan perolehan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, MSM Malaysia berkata, ia merekodkan pertumbuhan pendapatan kepada RM2.66 bilion pada tahun kewangan 2016 berbanding RM2.31 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Ini disumbang oleh harga jualan yang bertambah baik, peningkatan tinggi jualan gula ditapis serta hasil dagangan tinggi.

Bagaimanapun, kos bahan mentah yang tinggi serta penurunan ringgit menjadi punca kepada kemerosotan keuntungan sebelum cukai pada tahun kewangan dalam kajian.

Dalam suku keempat tahun kewangan 2016, keuntungan sebelum cukainya turun kepada RM24.43 juta daripada RM91.76 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatan meningkat kepada RM838.31 juta daripada RM663.97 juta sebelumnya. -MalaysiaGazette