DATUK SERI LIOW TIONG LAI

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa isu Dego RIDE adalah di bawah kawal selia kementeriannya dan penunggang motosikal harus mempunyai lesen pengangkutan awam sebelum dibenarkan membawa penumpang.

Tiong Lai turut menyatakan pendirian Kementerian Pengangkutan untuk mengharamkan perkhidmatan Dego RIDE dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Beliau berkata, menteri lain turut bersetuju bahawa isu tersebut adalah di bawah kawal selia Kementerian Pengangkutan.

Tiong Lai menegaskan perkara itu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan bahawa Kabinet tidak membuat keputusan untuk mengharamkan Dego RIDE.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, menteri boleh melontarkan pandangan mengenai Dego RIDE melalui Jemaah Menteri, tetapi tidak harus berkongsikannya secara terbuka.

Katanya lagi, Dego RIDE juga boleh merayu berhubungan keputusan pengharaman perkhidmatan tersebut, tetapi Kementerian Pengangkutan mempunyai pendirian yang jelas iaitu tidak akan meluluskan.

“Kementerian Pengangkutan mengawal selia soal fungsi dan keselamatan motosikal.

“Motosikal boleh digunakan untuk membawa orang tetapi bukannya penumpang. Lesen diperlukan jika mahu membawa penumpang,” katanya dipetik China Press. – MalaysiaGazette