Yaacob Md. Sam

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah memulakan siasatannya sejak Ahad kelmarin berhubung kematian tahanan, Thanaseelan Muniandy di lokap Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Menurut Pengerusinya, Datuk Yaacob Md. Sam, EAIC telah menubuhkan pasukan pegawai penyiasat bagi menjalankan siasatan ke atas kes kematian itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta EAIC 2009 (Akta 700).

Katanya, mangsa yang berumur 43 itu bagaimanapun ditemukan mati pada 25 Februari lalu, ketika dalam tahanan reman untuk membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dengan kesalahan bawah Seksyen 357 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan pecah rumah.

“Mengikut laporan, Thanaseelan ditangkap bersama dua lelaki lain kira-kira jam 2 pagi pada Rabu minggu kerana disyaki terlibat dengan kes kesalahan itu.

“Polis kemudian mendapatkan perintah reman selama empat hari untuk membantu siasatan, pada 22 Februari, tetapi ditemui mati tiga hari kemudian,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Yaacob, sehari sebelum kematiannya, iaitu pada 24 Februari, mangsa mengadu sakit perut dan telah dibawa oleh polis ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan.

Selepas rawatan katanya, mangsa dibawa semula ke lokap Balai Polis Bukit Sentosa, tetapi pada 25 Februari, kira-kira jam 1.50 pagi, Thanaseelan didapati tidak sedarkan diri dalam lokap tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas.

“Mayat mangsa telah dibuat pemeriksaan oleh Koroner pada jam 7.50 pagi 25 Februari sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 11.20 pagi hari yang sama.

“Bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan semalam oleh pihak Hospital Sungai Buloh,” katanya.

BACA: EAIC siasat serta merta seorang tahanan mati dalam lokap

BACA: Kematian tahanan, lebih 10 anggota dan pegawai polis disiasat

Beliau berkata, siasatan EAIC adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 24 Akta 700, termasuk perlakuan yang bersifat jenayah oleh pegawai polis ketika mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan tersebut.

Ujarnya, siasatan juga merangkumi bagaimana dan mengapa salah laku itu terjadi dan adakah peruntukan undang-undang, peraturan, kaedah Standard Operating Procedures (SOP) serta arahan tetap yang berkaitan dengan pengurusan dan pengendalian orang tahanan telah dipecahi.

“Kita akan mengenal pasti individu iaitu anggota polis yang bertanggungjawab ke atas salah laku atau perlakuan jenayah itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dua kes kematian dalam tahanan lokap polis telah dilaporkan.

Katanya, kes pertama berlaku ke atas mendian Soh Kai Chiok di IPD Bera, Pahang pada 18 Januari lalu dan kes kedua, S. Balamurugan di IPD Klang Utara pada 8 Februari 2017.

“Dalam perkembangan terkini berkaitan kes kematian kedua-dua tahan itu EAIC telah mengambil keterangan 53 saksi bagi kes Soh Kai Chiok, manakala 47 saksi telah diambil keterangan bagi kes S. Balamurugan.

“EAIC menegaskan siasatan akan dijalankan dengan komprehensif, telus dan tanpa prejudis serta tidak berpihak kepada sesiapa. Kematian tahanan di dalam lokap adalah kejadian yang amat dikesali dan perlu dielakkan,” katanya.

Yaacob turut menyeru dan menggesa semua pegawai dan anggota polis supaya memberi perhatian, mengambil panduan serta mematuhi SOP Pengurusan Lokap PDRM yang dikeluarkan Bukit Aman pada 21 April 2014 yang memperuntukkan dengan komprehensif berkaitan pengendalian orang tahanan di lokap. – MalaysiaGazette