AirAsia
AirAsia
KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd akan terus menumpukan kepada pertumbuhan dan dalam masa yang sama mengurangkan kos, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes, hari ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan kos rendah itu juga akan memberi penekanan kepada penggunaan tinggi pesawatnya.

“Pertumbuhan, pertumbuhan, pertumbuhan. Itulah yang kami tumpukan dalam kumpulan Airasia, dan ia akan menjadi pertumbuhan yang menguntungkan, apabila pelaburan dilakukan.

“Selain pertumbuhan kami juga mengurangkan kos, terutamanya dengan syarikat-syarikat penerbangan yang sama. Penggunaan lebih tinggi. Pesawat baharu. Lebih banyak tempat duduk. Data dan teknologi,” kata Fernandes, menerusi akaun rasmi twitter beliau, Khamis.

Airasia Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai tinggi sebanyak RM2.16 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2016, daripada RM215.15 juta pada 2015.

Hasil meningkat kepada RM6.92 bilion daripada RM6.29 bilion.

Syarikat penerbangan tersebut berkata prestasi hasil yang bertambah baik itu disumbang oleh pertumbuhan penumpang, pendapatan sampingan bagi setiap penumpang yang lebih tinggi tahun ke tahun dan peningkatan purata tambang, yang naik enam peratus kepada RM167.

Sementara itu, Centre for Aviation (CAPA) memetik Ketua Strategi Kumpulan AirAsia, Subashini Silvadas sebagai berkata AirAsia Malaysia mungkin menambahkan bilangan pesawat lebih daripada lapan A320s yang dirancang ketika ini.

“Kumpulan kini merancang mencapai 300 pesawat A320s menjelang 2021 dan 333 pesawat menjelang 2022 berbanding 176 pada akhir 2016,” kata CAPA yang memetik Subashini sebagai berkata semasa CAPA Airline Fleet and Finance Summit 2017 yang sedang berlangsung di Singapura sekarang.

Beliau juga berkata kumpulan itu memperoleh 10 pajakan A320neo daripada 13 yang dirancang bagi 2017.

Beliau juga dipetik sebagai berkata AirAsia Japan akan melancarkan perkhidmatan ‘tidak lama lagi’ dan akhir 2017 dengan lima pesawat A320s.

Menurut Subashini, AirAsia Japan tidak boleh menggunakan Airbus Neo berikutan peraturan di Jepun.

— BERNAMA