Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar antara ahli panel pada sesi bicara ilmu Melestarikan Integriti TN50 Berasaskan Nilai Pelbagai Perayaan Agama Di Malaysia yang diadakan di Menara Integriti, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 02 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Dr Chandra Muzaffar menyifatkan cabaran utama ke arah merealisasikan Pelan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 adalah bagaimana kerajaan mencari jalan untuk membudayakan amalan integriti dalam kalangan rakyat memandangkan ia kini berada pada tahap terendah.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia itu melahirkan kekecewaan terhadap situasi yang melanda negara apabila amalan integriti tidak lagi menjadi sebahagian budaya rakyat, ia terbukti apabila saban hari kes rasuah yang besar dilaporkan membabitkan individu penting.

“Integriti bukan lagi sebahagian daripada budaya kita, kenapa? Buktinya begitu banyak skandal yang melibatkan isu integriti.

“Kecurian yang berlaku, rompakan yang berlaku, penipuan yang berlaku, pengubahan wang yang berlaku yang disedari atau tak disedari.

“Berjuta-juta, kes terbaharu apa yang berlaku di Sabah,ini sebahagian apa yg diketahui umum tapi ada juga yang kita tak ketahui,” kata Chandra semasa sesi Bicara Ilmu anjuran Institut Institut Integriti Malaysia (Integriti) hari ini.

Beliau merujuk kes Rasuah Jabatan Air Negeri Sabah (JAINS) yang melibatkan penyelewengan dana infrastruktur kerajaan berjumlah RM56.9 juta pada Disember tahun lalu.

“Kita rugi kerana integriti bukan sebahagian daripada budaya kita, ini cabaran yang kita hadapi sekarang ini,” ujarnya.

Menurutnya Chandra lagi, keruntuhan sesuatu tamadun masyarakat adalah apabila disebabkan budaya integriti tidak lagi dititikberatkan di mana akhirnya ia memberi kesan negatif kepada sesebuah negara itu.

“Faktor utama yang meruntuhkan masyarakat suatu tamadun adalah soal rasuah, penyalahgunaan kuasa, yang meruntuhkan suatu masyarakat adalah kesan-kesan negatif daripada keadaan dimana integriti dipinggirkan .

“Ini yang meruntuhkan masyarakat kita, semua tahu. Kita tahu dari sejarah kita sendiri, kita tahu dari sejarah emapayar lain,” katanya.

Penekanan TN50 tidak seharusnya melihat kepada aspek ekonomi semata-mata, ujar Chandra, tapi sebaliknya matlamat integriti perlu menjadi tumpuan utama ke arah memastikan integriti negara meningkat dan dihormati semula.

“Yang penting pada hemat saya ialah kita mesti mencapai matlamat integriti, kalau ini menjadi matlamat kita dalam tempoh beberapa tahun ini, kita dapat meningkatkan integriti negara kita, masyarakat kita.

“Bermakna kita mengurangkan rasuah, kita berjaya kurang penipuan dan beberapa aspek yang lain seperti urus tadbir yang bersih, bila mencapai ini bermakna kita sudah berjaya,” ujarnya.

Punca kepada kurangnya integriti dikalangan masyarakat menurut Chandra adalah disebabkan kurangnya iltizam dan terlalu berada pada zon selesa.

“Kita tidak fahami ini satu penyakit, kita tidak sedari yang sebenarnya kita menuju ke arah tahap bahaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette