KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan mendedahkan Duta Besar Korea Utara, Kang Chol pernah meminta MCA menulis ucapan tahniah dan menghadiahkan bunga kepada pemimpin negara Komunis tersebut, Kim Jong-un.
Kang Chol mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Malaysia berkomplot dengan Korea Selatan dalam siasatan kematian lelaki Korea Utara yang dilaporkan sebagai Kim Jong-nam, abang kepada Kim Jong-un.
Ka Chuan berkata, Kang Chol menyatakan permintaan menulis surat tahniah kerana bimbang akan dipanggil balik ke Pyongyang.
Ka Chuan juga mengakui bahawa beliau mempunyai hubungan yang agak baik dengan Kang Chol sehingga duta besar itu bertandang ke Wisma MCA pada ulang tahun kelahiran Kim Jong-un.
Katanya, Kang Chol menemuinya dan meminta supaya mewakili MCA menuliskan surat ucapan tahniah buat Kim Jong-un.
“Dia (Kang Chol) sebenarnya sangat kesian,” katanya seperti dipetik China Press.
Ka Chuan berkata, walaupun MCA oleh mengabaikan permintaan Kang Chol, tetapi duta itu nampak ikhlas dan bertandang sendiri ke Wisma MCA dan menyatakan perkara itu mustahak.
“Kalau gagal mendapat ucapan tahniah, maka dia gagal menyempurnakan tugas. Akhirnya saya serahkan surat tahniah kepadanya,” kata Ka Chuan.
Menurutnya, Kang Chol terpaksa akur kepada arahan atasan termasuk membacakan teks ucapan yang sudah tersedia.
Kata Ka Chuan, Kang Chol perlu berhati-hati kerana bekas Duta Besar Korea Utara, Jang Yong-chol telah menerima hukuman mati di negara asalnya. – MalaysiaGazette
















