Sektor perkhidmatan yang mencapai pertumbuhan 55 peratus dan mungkin mengecapi 60 peratus pada 2020 menuntut pekerja muda dilengkapi dengan kemahiran komunikasi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Satu pertiga daripada siswazah mempunyai kelayakan akademik yang tidak memenuhi keperluan praktikal pasaran.
Keadaan itu merupakan antara faktor utama yang menyebabkan 80 peratus siswazah menganggur dan memerlukan masa untuk mencari kerja.
Majikan kini memerlukan pekerja yang tersedia kerana tidak mahu menghabiskan masa untuk melatih mereka.
Selain itu, terdapat juga siswazah yang terlalu ‘manja’ walaupun berdepan kesukaran mencari kerja. Golongan ini selalunya akan menghilangkan diri selepas bekerja selama satu atau dua hari.
“Zaman sudah berbeza, pengetahuan dan ijazah semata-mata tidak menjanjikan pekerjaan.
“Majikan tidak lagi memerlukan banyak pengurus, tetapi kami mahu pekerja yang mempunyai kemahiran tertentu,” kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan kepada China Press.
Beliau berkata, dengan sektor perkhidmatan yang mencapai pertumbuhan 55 peratus dan mungkin mengecapi 60 peratus pada 2020, pekerja muda juga perlu dilengkapi dengan kemahiran komunikasi.
“Perusahaan moden mementingkan kerja berpasukan, pekerja perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dan memimpin serta sanggup bekerja kuat untuk syarikat.
“Pekerja juga perlu melakukan tambah nilai pada diri sendiri kerana keadaan sudah berbeza dengan era 90-an,” katanya.
Shamsuddin menggalakkan ibu bapa memberi peluang kepada anak untuk menceburi bidang yang diminati kerana ia akan meningkatkan peluang mereka untuk berjaya dalam kerjaya.
Beliau bagaimanapun berkata, pelajar juga perlu mengambil kira keperluan pasaran semasa melanjutkan pelajaran bagi mengelakkan pembaziran wang ibu bapa mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast