MIC

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung MIC, Datuk A. Sakthivel menafikan spekulasi bahawa berlaku tawaran sejumlah wang kepada plaintif dalam kes pertikaian antara pendaftar Pertubuhan (RoS) dan bekas pemimpin-pemimpin parti politik itu.

Kes yang difailkan oleh beberapa bekas pemimpin kem Datuk Seri G. Palanivel berada pada peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Malah Sakthivel turut menafikan terdapat rundingan yang membabitkan wang dalam percubaan untuk mendesak mereka menarik kes tersebut.

“Hadir ke pengetahuan kami sejak kebelakangan ini terdapat berita viral dalam talian dan media cetak Tamil mendakwa berlaku penawaran wang kepada plaintif sebagai cubaan pujuk mereka menarik diri dari kes pertikaian antara RoS-MIC yang masih tertangguh di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Sebagai wakil parti, saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang rundingan seperti yang didakwa dalam media sosial termasuk akhbar Tamil berlaku dalam kes ini.

“Selain pengurusan surat dokumen antara penguam kes ini, tiada sebarang perbincangan atau rundingan lain berlaku dengan mana-mana pihak.

“Segala dakwaan itu adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sakthivel menambah, berita tidak berasas yang disebarkan itu berniat jahat dan pembohongan pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya mereka masih meneruskan perbuatan mengeluarkan kenyataan tidak benar dan tidak berasas, MIC akan mengambil tindakan mahkamah,” ujarnya. – MalaysiaGazette