Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen (MP) Seputeh, Teresa Kok hari ini menafikan beliau salah seorang wakil rakyat di Kuala Lumpur yang menerima wang daripada dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Wakil rakyat DAP itu yang ditemui di Parlimen apabila ditanya mengenai pendedahan Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos.

“Tidak ada, tidak ada. Saya wakil rakyat Kuala Lumpur, itu dana untuk wakil Selangor. Jadi tanya ahli parlimen Selangor,” katanya.

Teresa juga enggan menjawab lebih lanjut mengenai dakwaan Jamal tersebut.

Jamal sebelum ini juga mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin menjawab dakwaan transaksi YAWAS berjumlah RM200 juta yang disalurkan kepada ahli parlimen di Kuala Lumpur sedangkan ia wang rakyat Selangor.

Mohamed Azmin bagaimanapun ‘mengunci mulut’ daripada menjawab tuduhan itu walaupun Jamal mendesak supaya Menteri Besar Selangor itu menyamannya jika dakwaan dibuat itu satu fitnah.

Jamal juga sebelum ini sudah menyerahkan dokumen bukti penyelewengan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor antaranya surat daripada Perbendaharaan Negeri Selangor bertarikh 13 Disember 2013 kepada pengurus cawangan Ambank yang memohon membuka akaun bagi skim Mesra Usia Emas di atas beberapa ahli parlimen Wilayah Persekutuan.-MalaysiaGazette