Hamidin Mohd. Amin.

Kuala Lumpur- Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara pada 28 Mac ini ditunda.

Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang memutuskan perkara itu berkata, perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Pyongyang itu terpaksa ditunda susulan ketegangan diplomatik di antara kerajaan kedua-dua negara yang semakin memuncak.

Dalam kenyataannya hari ini, AFC berkata, tarikh baharu perlawanan akan diumumkan dari masa ke semasa.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah membuat permohonan kepada AFC untuk mengadakan pertemuan menentang Korea Utara di gelanggang berkecuali.

Dalam pada itu, FAM menyambut baik keputusan dibuat oleh AFC itu kerana ia dilihat sebagai langkah paling tepat demi keselamatan para pemain dan pegawai pasukan jika perlawanan itu tetap diteruskan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, persatuan menyerahkan sepenuhnya kepada AFC untuk menentukan tarikh serta venue baharu dan sedia untuk memberi kerjasama jika diminta berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, perlawanan persahabatan antarabangsa “A” yang diatur skuad kebangsaan, Harimau Malaysia untuk bertemu Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 22 Mac ini tetap akan diteruskan.

“Perlawanan persahabatan di Manila menawarkan mata ranking dan dilihat peluang terbaik buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang ketika ini di tangga ke-161 dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette