Noh Omar bersama ahli Kelab Keusahawanan dan Kesukarelawan AIM Tanjung Karang.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi program Azam Bandar mengenal pasti kira-kira 800 rakyat miskin yang tersenarai dalam E-Kasih untuk diberikan bantuan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, bentuk bantuan itu ialah memberikan latihan kepada golongan berkenaan untuk memulakan perniagaan.

Kata beliau, selain latihan, 800 bakal peserta itu juga akan diberikan pinjaman modal di bawah skim Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Berdasarkan rekod, pencapaian AIM ini telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang menyifatkan sebagai kejayaan besar kerajaan dalam usaha membantu rakyat miskin meningkatkan taraf hidup.

“AIM ini mempunyai pakej lengkap dan terbaik seperti menyediakan latihan serta pinjaman modal untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama Kelab Keusahawanan dan Kesukarelawan AIM di Tanjung Karang, semalam.

Kata Noh, beliau gembira sambutan program itu menggalakkan terutama di Selangor dengan wujudnya sebanyak 14 kelab keusahawanan kelolaan AIM.

Beliau berharap, lebih banyak lagi kelab keusahawanan ditubuhkan seleras dengan pertambahan seperti AIM, yang bermatlamatkan membantu dan membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan. – MalaysiaGazette