Alor STAR – Penggunaan dron bagi penyemburan racun serangga di sawah-sawah padi tidak akan membahayakan alam sekitar, manusia dan binatang.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (Mada), Datuk Othman Aziz berkata, agensi itu telah mengambil kira kesan terhadap penggunaan dron sekali gus memberi jaminan ia akan dikendalikan oleh tenaga terlatih.

Jelasnya, Mada akan memulakan penggunaan dron untuk menyembur racun serangga pada musim penanaman akan datang yang dijangka pada hujung bulan ini dan April.

“Dron ini akan terbang di antara dua dan tiga meter daripada tanah dan dalam kawasan plot padi supaya racun serangga tersebut tidak tersebar ke tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan dron tersebut d sini hari ini.

Othman mengulas mengenai kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang membantah penggunaan dron untuk penyemburan racun serangga yang dikatakan akan menyebabkan pencemaran udara dan seterusnya mengakibatkan berlakunya masalah kesihatan berkaitan penggunaan racun serangga dengan lebih meluas.

Bagaimanapun menurut Othman, Mada telah melakukan ujian penggunaan dron tersebut di Pendang dan mendapati semburan racun serangga tersebut tersebar dengan elok di kawasan sawah padi sahaja.

Tambahnya, ujian tersebut turut menunjukkan penyemburan udara yang terkawal tidak akan menjejaskan kawasan sekitar.

Bagi projek perintis ini, Mada akan menggunakan 10 dron untuk kawasan sawah padi seluas 2000 hektar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast