Mahfodz Mohamed.

KUALA LUMPUR – Orang Islam yang berada dalam DAP dinasihati supaya percaya kepada Rukun Iman bagi mengelak mereka daripada terus mempersendakan Islam, kata Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang baru-baru ini mempersenda Pas supaya menjadi tabligh sahaja dan tidak terbabit dalam politik lagi walaupun Mahfodz tidak menamakan individu dimaksudkannya.

“Dulu, mereka berbaik-baik dengan Pas sehingga membentuk satu pakatan. Tetapi apabila rasa sudah kuat, mereka tolak dasar Islam Pas yang sebelum ini diterima.

“Sebab itu saya tegaskan bahawa Pas tidak akan berbaik semula dengan DAP.

“Jangan persendakan Pas, kami parti Islam sampai ke akhirat. Biarlah orang Islam dalam DAP pun, tetapi kita kena percaya pada Rukun Iman,” beliau dipetik berkata.

Mahfodz juga mengingatkan Zairil, hidup di dunia ini tidak kekal selama-lamanya kerana mempunyai kesinambungan di akhirat.

Justeru Mahfodz menegaskan selain mahu menang pilihan raya, perjuangan Pas ialah untuk memastikan kejayaan itu diredai Allah.

“Ini jelas objektif Pas berdasarkan perkara lima perlembagaan iaitu untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang melaksanakan hukum Islam dalam negara dengan keredaan Allah.

“Pas tidak mahu menang (pilihan raya dengan) cara tipu tetapi menang dengan cara diredai Allah, itu diajar Islam.

“Pas bukan sekadar mahu dapatkan undi daripada orang ramai, tetapi turut mengambil kira akhirat kelak,” katanya.

Terdahulu Zairil menerusi keyataan medianya secara sinis mempertikaikan kecenderungan PAS untuk bercakap mengenai keredaan Allah berbanding memenangi pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette