LIM GUAN ENG

KUALA LUMPUR – DAP tidak percaya laporan 182 ahlinya dari beberapa kawasan di Melaka bertindak keluar dari parti itu semalam.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, beliau akan mendapatkan maklumat itu daripada pemimpinnya sendiri, bukan melalui laporan media pro Barisan Nasional (BN).

Katanya, kalau mengikut laporan media kerajaan, 20 orang yang keluar parti pun boleh jadi 182 orang.

“Saya tengok dalam gambar semalam ada lebih kurang 20 orang sahaja, itu pun tidak sampai (20 orang), tetapi media BN melaporkan 182 orang.

“Bagaimanapun, DAP kena menjaga lebih 150,000 ahlinya yang setia dan bekerja keras untuk parti,” katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, sekumpulan 182 ahli DAP bertindak keluar parti itu, sebulan selepas empat wakil rakyatnya di Melaka mengumumkan tidak lagi bersama DAP.

Kumpulan ini dilaporkan keluar parti kerana kecewa dengan pucuk pimpinan DAP pusat yang berlaku tidak adil kepada pemimpin serta ahli parti.

Enam daripada mereka ialah bekas Ahli Jawatankuasa DAP Melaka iaitu, N. Ghandi, Low Chew Lim, Henry Kang, Kenny Tam, Kng Tuan Hock dan Tee Ai Yen.

Menurut Guan Eng, kebanyakan pemimpin dan ahli yang keluar adalah mereka yang gagal mempertahankan jawatan serta kalah merebut kedudukan dalam parti pada pemilihan tahun lalu.

“Kumpulan ini ada atau tidak ada, tidak memberi apa-apa kesan kepada parti kerana selama ini pun mereka tidak pernah memberi apa-apa sumbangan dalam DAP,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.