Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hanya akan memulangkan semula berus cat diperbuat dari bulu babi sekiranya premis berkenaan mematuhi syarat ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya memberi tempoh satu bulan bermula 9 Februari lalu kepada semua premis menjual berus cat agar mempamerkan dan melabelkan dengan jelas ungkapan “berus ini diperbuat dari bulu babi” atau “berus ini diperbuat dari bulu anjing”.

“Jika premis berkenaan mematuhi arahan ini, kita akan memulangkan semua berus cat yang dirampas. Kalau gagal, barangan rampasan ini akan dijadikan bahan bukti untuk tujuan pendakwaan,” katanya di Parlimen hari ini.

Berhubung larangannya kepada penguatkuasa KPDNKK supaya menghentikan operasi rampasan berus cat diperbuat dari binatang yang diharamkan oleh Islam, beliau berkata, tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada premis berkenaan mematuhi syarat yang ditetapkan kementerian.

Larangan itu, katanya, bersifat sementara, tetapi jika ada premis masih gagal dengan syarat berkenaan, pihaknya akan teruskan operasi merampas.

“Tujuan rampasan dan syarat ini adalah untuk menjaga sensitiviti umat Islam, yang mana agama ini mengharamkan umatnya daripada bersentuhan, memakan atau menggunakan produk berasaskan haiwan haram.

“Saya harap perkara ini tidak dipolitikkan pihak tertentu, walaupun pada awalnya telah sengaja disalahertikan oleh pembangkang untuk memperlihatkan kesalahan kerajaan.

“Tindakan ini adalah bertepatan dengan konsep kita bagi mengelakkan keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini tergugat,” katanya.

Kata Hamzah, bermula Jumaat lalu, pegawai dan penguatkuasa KPDNKK telah turun ke premis untuk melakukan pemeriksaan sama ada arahan dipatuhi atau tidak. – MalaysiaGazette