Abdul Ghafur Salleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi nasihat kepada pengurusan Malaysia Airlines (MAS) supaya dalam membuat sesuatu perkara perlu sistematik dan masuk akal.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, beliau melihat sistem yang dilaksanakan MAS langsung tidak masuk akal seperti mengambil kakitangan baharu, sedangkan yang lama dipecat.

Bahkan, katanya, tiket penerbangan MAS juga jauh lebih mahal berbanding perkhidmatan disediakan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia.

“Mereka (MAS) pecat kakitangan sedia ada, tetapi pada masa sama mengambil kakitangan baharu yang tidak berpengalaman.

“Begitu juga AirAsia jual tiket murah, dapat untung besar. MAS jual tiket mahal, rugi setiap tahun. Macam mana perkara ini boleh berlaku?

“Justeru, saya minta kerajaan campur tangan dan memantau pengurusan MAS agar ia tidak menjadi isu pihak tertentu dan membebankan kerajaan pada masa akan datang,” katanya di Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata, adalah lebih baik MAS meniru perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia demi kelangsungan hidup agar tidak terlalu bergantung kepada sumber kewangan negara. – MalaysiaGazette