Dayang Nurfaizah

KUALA LUMPUR – Atas dasar prihatin membantu generasi muda, penyanyi popular Dayang Nurfaizah akan muncul pada konsert amal Tapestry of Colours pada 29 Julai ini Dewan Filharmonik Petronas, di sini.

Dayang, 35, berkata, dia mendapat tawaran membuat persembahan itu pada hujung tahun lalu dan bersetuju kerana kagum dengan minat tinggi pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang seni dan kebudayaan.

Pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-31 (AJL31) itu berkata, ia adalah sesuatu yang menarik dan unik.

“Mereka adalah pelajar tempatan dan luar negara yang minat dengan seni dan kebudayaan. Pastinya ia satu persembahan yang menarik untuk ditonton.

“Saya pula hanya penyanyi jemputan dan bakal menyanyikan empat buah lagu. Namun lagu apa yang akan disampaikan masih dalam perbincangan.

“Saya menganggap tawaran untuk menyanyi pada konsert amal ini sebagai satu penghargaan daripada UTP,” katanya pada sidang media konsert amal Tapestry of Colours di sini semalam.

Turut hadir, Naib Cancelor UTP, Datuk Ir Dr. Abdul Rahim Hashim.

Konsert amal Tapestry of Colours diadakan dua tahun sekali anjuran UTP dengan kerjasama Yayasan UTP.

Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknologi Petronas (UTP), Datuk Abdul Rahim Hashim (tengah), bersama Artis Dayang Nurfaizah (kanan) bercakap pada sidang media Tapestry Of Colours di Galeri Petronas KLCC, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 14 MAC 2017
Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknologi Petronas (UTP), Datuk Abdul Rahim Hashim (tengah), bersama Dayang Nurfaizah (kanan) pada sidang media konsert amal Tapestry Of Colours di  Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 14 MAC 2017.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya menyasarkan dapat mengutip dana sebanyak RM1.5 juta berbanding RM1.3 juta pada konsert amal sebelum ini.

Jelas beliau, dana itu akan disalurkan kepada Yayasan UTP bagi program pembangunan pelajar dalam bidang akademik, seni dan budaya, sukan, kepimpinan dan khidmat komuniti.

“Dayang dipilih bukan kerana juara AJL31 tetapi sebagai contoh terbaik kepada anak-anak muda kerana kegigihan dalam bidang seni hingga berjaya pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, konsert amal Tapestry of Colours bakal disertai 200 pelajar jurusan kejuruteraan dan teknologi.

Tiket boleh didapati pada harga RM106 hingga RM446 di www.mpo.com.my. – MalaysiaGazette