Gabungan pakatan pembangkang.

PETALING JAYA – Parti-parti pembangkang perlu menukarkan kerusi untuk menghadapi persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ‘menghuru-harakan’ strategi mereka.

Berikutan daripadanya, PKR telah melihat keperluan untuk ‘mengatur’ semula strategi di beberapa kawasan pilihan raya termasuk di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, kerusi yang disandang Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.

“SPR dalam persempadanan semula kali kedua telah ‘memulangkan semula’ Sri Sentosa dan Brickfield kepada Lembah Pantai.

“Walau bagaimanapun, undi-undi tentera yang dipindahkan dari Segambut masih kekal di Lembah Pantai. Peluang kemenangan PKR di Lembah Pantai perlu dihitung semula,” kata Chan Ming Kai, Ketua Informasi Pilihan Raya PKR.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng bersetuju bahawa peluang kemenangan pembangkang menjadi tipis secara keseluruhannya walaupun persempadanan semula nampak ‘menguntungkan’ DAP.

Menurut Ming Kai lagi, kerusi Parlimen Lumut di Perak juga menerima implikasi apabila Setiawan yang mempunyai banyak pengundi Cina dipindahkan ke Beruas.

“PKR berkemungkinan besar akan kehilangan Lumut pada pilihan raya akan datang.

“Selain itu, MCA juga akan hilang peluang untuk bertanding di Lumut untuk memberi laluan kepada UMNO,” kata Ming Kai.

Menurutnya lagi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang dikhabar akan bertanding kerusi Parlimen besar kemungkinan akan memilih Lumut atau Kuala Kangsar untuk meneruskan kerjaya politiknya.

Katanya, kerusi Beruas yang ditambah dengan pengundi Cina bakal menjadi kubu teguh DAP.

Dalam pada itu, DAP juga berkemungkinan kehilangan Tebing Tinggi di Parlimen Ipoh Timur di Perak selepas kerusi negeri itu ‘dimelayukan”.

Satu-satu kerusi PKR di Johor iaitu Bukit Batu juga dalam bahaya apabila ramai penyokong parti itu dikatakan dipindahkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai yang berjiran dengannya.

Kerusi Parlimen Batu Pahat yang diintai PKR sebelum ini juga semakin sukar dimenangi.

“Selain mengambil kira struktur etnik, pertandingan tiga penjuru juga perkara yang perlu dihitungkan dalam meramalkan peluang kemenangan,” kata Ming Kai.

DAP pula mengulang nada yang sama dan berpendapat persempadanan semula oleh SPR bertujuan mengurangkan peluang kemenangan pembangkang.

“Sasaran mereka bukan pengundi Cina di kawasan bandar tetapi pengundi di kawasan campuran.

“Mereka (SPR) secara sengaja menambahkan pengundi Melayu,” kata Naib Presiden DAP, Teresa Kok. – MalaysiaGazette