PUTRAJAYA – Pyongyang telah menyatakan hasrat untuk berunding dengan Kuala Lumpur mengenai hubungan diplomasi dua negara yang menjunam selepas kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara.

Akhbar-akhbar Cina termasuk China Press melaporkan, perundingan akan dijalankan melalui saluran diplomasi untuk ‘menyelamatkan’ hubungan dua negara.

“Hubungan dua negara agak baik selama ini sehingga rakyat Korea Utara dibenarkan melawat Malaysia tanpa visa.

“Hubungan bagaimanapun menjadi tegang selepas kes pembunuhan Kim Jong-nam,” kata sumber.

Menurutnya lagi, disebabkan keseriusan kes itu, Jemaah Menteri telah mengarahkan menteri tertentu dan Kementerian Luar sebagai jurucakap isu Korea Utara.

“Disebabkan isu ini membabitkan pendirian negara, jadi menteri tidak boleh bersuara bagi pihak Malaysia secara sembarangan.

“Menteri-menteri juga harus berwaspada dalam melontarkan kenyataan,” katanya.

Hubungan Pyongyang dengan Kuala Lumpur menjunam sehingga rakyat Malaysia dilarang meninggalkan negara Komunis tersebut.

Dalam pada itu, Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang berharap Malaysia dapat mengendalikan isu dengan Korea Utara melalui cara yang baik.

Amerika Syarikat sebelum ini telah memuji Malaysia kerana mengendalikan isu kematian Kim Jong-nam dengan baik.

‎Disebabkan kematian Kim Jong-nam, Malaysia terjerumus ke dalam pergelutan geopolitik antara kuasa-kuasa besar di rantau Asia Timur membabitkan Rusia, Amerika Syarikat, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun dan China.

Ramai penganalisis berpendapat Malaysia tengah berdepan dilema iaitu untuk menyelamatkan ‘tebusan’ yang terkurung di Korea Utara atau menegakkan keadilan buat Kim Jong-nam.

“Selain itu, Malaysia juga perlu mengelak Korea Utara mengambil tindakan ekstrim jika negara itu dimalukan,” kata Yang Li Qing, seorang pengarang kanan Sinchew Daily. – MalaysiaGazette