PUTRAJAYA – Jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah buah pinggang dari tahap satu hingga tahap lima pada masa ini dianggarkan mencecah 400,000 orang atau kira-kira 200 kes bagi setiap sejuta penduduk negara ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10 peratus daripadanya mereka yang mengalami masalah buah pinggang tahap lima dan memerlukan rawatan dialisis manakala selebihnya adalah pesakit buah pinggang tahap satu hingga empat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, masalah buah pinggang kebanyakannya berpunca daripada gaya hidup tidak sihat rakyat Malaysia.

Jika tidak ditangani, jumlah kes akan terus meningkat dan seterusnya menyumbang kepada pertambahan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang memerlukan kos rawatan yang tinggi.

“Penyakit kencing manis dikenal pasti sebagai punca utama kegagalan buah pinggang dan pada masa ini terdapat 3.5 juta pesakit diabetis di negara ini.

“Malaysia mencatatkan pertambahan 6,000 kes pesakit mengalami kegagalan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis setiap tahun,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2017 dan Jelajah Kayuhan di Taman Botani di sini hari ini. –MalaysiaGazette