Noh Omar.

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar mengemukakan bukti kerajaan negeri itu telah membelanjakan kira-kira RM70 juta untuk menyelenggara rumah kos rendah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan semakannya, peruntukan RM50 juta bagi tujuan itu hanya ada dalam Belanjawan 2017.

“Kalau Azmin kata dia telah belanjakan RM70 juta untuk PPR, saya cabar dia tunjuk bukti.

“Yang saya tengok ialah Belanjawan 2017, kalau tidak silap saya dalam (kira-kira) RM50 juta yang disediakan untuk membaiki rumah kos rendah,” katanya di sini semalam.

Mengenai PPR Lembah Subang 1 yang menjadi kontroversi antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, Menteri Besar itu mungkin tidak faham sejarah.

Katanya, PPR Lembah Subang 1 adalah hak milik penuh Kerajaan Persekutuan tetapi diserahkan kepada kerajaan negeri untuk menguruskannya.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan negeri gagal mengurus dengan baik sehingga penduduk merungut dan mengadu masalah dihadapi kepadanya.

“Lembah Subang 1 ini sebenarnya hak milik Kerajaan Persekutuan. Rumah itu dibina seratus peratus duit Kerajaan Persekutuan. Tanah tapak rumah itu pun tanah kementerian (KPKT).

“Tetapi kerana kita baik hati, kita buat rumah atas tanah kita, kita serahkan kepada kerajaan negeri tetapi apabila saya turun, saya mendengar masalah rakyat, rayuan dan juga rintihan mereka yang kerajaan negeri gagal sepenuhnya mengurus PPR itu.

“Akhirnya kita buat keputusan, kita kena ambil alih pengurusan PPR berkenaan,” ujarnya.

Kata Noh, ketika Kerajaan Persekutuan menyerahkan PPR Lembah Subang 1 kepada kerajaan negeri yang ketika itu di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), tidak ada sebarang perjanjian dibuat, melainkan memaklumkan bahawa sewanya tidak lebih daripada RM124 sebulan.

Namun, beliau kecewa, apabila Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Selangor, mereka menaikkan kadar sewa rumah dengan alasan arahan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya hendak beritahu, walaupun mereka kata cadangan itu daripada kerajaan BN, tetapi apa juga kenaikan sewa tidak boleh dilakukan, melainkan mendapat persetujuan daripada tuan tanah iaitu KPKT.

“Apabila kita nafi dan tekan, mereka beri alasan penyewa PPR tidak membayar sewa dan sebagainya.

“Sebab itu saya kata, kalau tidak pandai hendak mengurusnya, serahkan semula rumah itu dan tanah itu kepada kita,” katanya.

Ditanya dakwaan Azmin bahawa KPKT telah menceroboh PPR berkenaan, Noh berkata, sebelum mereka memasuki kawasan perumahan itu untuk meninjau permasalahan, pihaknya terlebih dahulu telah membuat laporan polis.

“Kerana itu, sebelum kita masuk ke PPR Lembah Subang 1, kita telah membuat laporan polis terlebih dahulu. Kita beritahu kepada polis, kita nak masuk ke PPR itu, iaitu rumah kita sendiri.

“Macam kita beri sewa rumah kita, kalau kita nak masuk rumah itu, kita tidak boleh masuk terus. Kita lapor kepada polis, kita beritahu, ini rumah kita, rumah yang macam dah tak ada pembelaan, macam rumah tinggal. Jadi, kita nak ambillah,” katanya.

Beliau turut terkejut apabila mendapati kerajaan negeri mengenakan bayaran berjumlah RM60 juta sedangkan sebelum ini mereka minta RM7 juta.

“Tiba-tiba naik RM60 juta termasuk RM30 juta yang dikatakan tunggakan sewa yang tidak dibayar oleh penduduk. Apa punya logik kerajaan Selangor macam ini?

“Sejak kerajaan negeri kutip sewa, satu sen pun mereka tidak beri kepada kita malah pada tahun 2011 kementerian ini telah membelanjakan RM22 juta untuk penyelenggaraan di kawasan perumahan itu,” katanya.

Noh berkata, pihaknya tidak akan membayar jumlah yang diminta kerajaan negeri setelah bermesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit dan Jabatan Pengurusan Penilaian Harta.

Ujar beliau, kementeriannya juga bermesyuarat dengan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ketua Audit yang mana pihak berkenaan membuat keputusan kerajaan Persekutuan tidak perlu membayar apa-apa pun kepada kerajaan negeri, sebaliknya ambil semula PPR berkenaan. – MalaysiaGazette