Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad menyifatkan barisan kepimpinan PAS kini semakin lemah sehingga membenarkan diri mereka dipergunakan oleh UMNO, khususnya dalam soal Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).
Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad menyifatkan ia suatu yang ‘pelik’ apabila Pas Selangor meminta supaya pimpinan parti menimbang untuk mengecualikan keputusan memutuskan hubungan dengan PKR di negeri itu.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, permintaan yang dibuat Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Mohd Shafie Ngah itu dilihat tidak wajar kerana Pas seolah-olah ada set keputusan di mana ada yang mahu bersama PKR dan ada yang tidak.

“Pas sendiri kena lah sort out benda ini sendiri, sama ada dia nak berkawan atau tidak tapi pelik lah apabila sebahagian nak berkawan dan sebahagian tidak mahu berkawan.

“Ini satu keanehan apabila di Selangor nak berkawan tapi peringkat pusat tak mahu berkawan, dekat negeri-negeri lain tak nak berkawan, seolah-olah di Selangor ini ada agenda dan pertimbangan yang tertentu lain daripada yang lain,” kata Khalid kepada MalaysiaGazette.

Khalid menasihati Pas supaya konsisten dalam keputusan yang mereka buat dan perlu berpegang kepada satu keputusan sahaja bukan dengan membuat keputusan yang akhirnya dilihat seolah-olah mahu menjaga kepentingan mereka sahaja.

“Pas sendiri kena fikir apa yang mereka nak sebenarnya, saya rasa kalau di tempat lain mereka tidak kisah kalau BN (Barisan Nasional) memerintah tapi di Selangor nampak dia tak nak pula.

“Saya cadangkan kepada Pas biar konsisten dalam pendirian dan berpegang kepada keputusan yang parti dia putuskan sendiri nanti,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie menggesa supaya pimpinan tinggi parti Islam itu mengecualikan untuk tidak memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR di negeri Selangor.

Beliau memberi alasan kononnya berkata hubungan parti itu dengan PKR di Selangor masih harmoni berikutan mandat yang diberikan kepada Pakatan Rakyat (PR) sewaktu pilihan raya lepas.

Sejak minggu lalu tiga usul memutuskan perhubungan politik dengan PKR diterima dari kawasan Permatang Pauh, Bayan Baru dan Dewan Pemuda Pas Tumpat.

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata Muktamar Pas ke-63 pada April di Kedah akan menentukan sama ada perhubungan dengan PKR ditamatkan atau tidak. – MalaysiaGazette