Nurshafiq (empat kiri) bersama peminat selepas membuat persembahan di Akademi Bomba Dan Penyelamat di Wakaf Tapai, Marang di sini, semalam. foto FB Peronda Pasarmalam Peeronda
KUALA TERENGGANU – Walaupun sering dihambat waktu kerana bekerja sebagai anggota Bomba dan Penyelamat, namun ia tidak menghalang Nursyafiq Farhain A.M Salim, 23, menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya sampingan.

Nursyafiq Farhain yang juga anak kepada vokalis utama kumpulan Iklim, iaitu Salim Iklim berkata beliau mula serius dalam bidang nyanyian sejak 2013 dan kini mempunyai kumpulan muzik sendiri yang juga terdiri daripada anggota bomba dan dikenali sebagai Fire Fingers JDT.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Johor, bagaimanapun berkata ia hanya aktiviti bagi mengisi masa lapang dan masih mencintai kerjayanya sebagai anggota bomba.

Anak muda ini semakin dikenali dan menjadi bualan netizen selepas lagu nyanyiannya, Mimpi Yang Pulang menjadi tular di laman sosial.

Mengulas pandangan orang ramai mengenai suara dan nyanyiannya yang dibayangi ayahnya, Nursyafiq menyerahkan kepada masyarakat untuk membuat penilaian.

Jelasnya beliau tidak pernah menggunakan nama dan bakat ayahnya sebagai tiket untuk mengejar dan meraih populariti sebaliknya lebih selesa berdiri di atas bakat dan kebolehan sendiri.

“Saya anaknya sudah tentu sedikit sebanyak dibayanginya namun biarlah masyarakat yang menilai kerana latihan nyanyian yang saya buat itu untuk belajar dan meningkatkan lagi mutu nyanyian. Tidak sangka ia tersebar di laman sosial.

Saya tidak pernah mengejar populariti apatah lagi menumpang populariti ayah sebab semua yang saya buat adalah kerana minat,” katanya yang tidak terfikir untuk menyertai bidang nyanyian secara serius.

— BERNAMA