Pengerusi Uda Holdings Berhad merangkap Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah (dua kiri) menyampaikan sumbangan berupa kerusi roda kepada salah seorang pesara PDRM, Khalid Abdul Rahman 72 (kanan) sambil diiringi Ketua Balai Polis Wangsa Maju, ASP Cleda F.Among@Chirstopher (tiga kanan) sempena Majlis Peringatan Hari Polis ke 210 di Pusat Khidmat Aktiviti Masyarakat, Wangsa Maju. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr. Tan Kee Kwong dijangka akan mulai baut-buat sibuk turun padang menjenguk rakyat pada saat-saat akhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Mohd. Shafie Abdullah berkata, sikap pemimpin PKR itu disamakan seperti drama ‘dua biji kurma’ bagi Kee Kwong menarik undi masyarakat.

“Dekat PRU dia (Kee Kwong) akan pusing pasar malam. Dia akan bawa dua biji kurma agih-agih kepada semua penduduk Wangsa Maju. Bagus wakil rakyat begini, empat tahun tidak payah kerja.

“Tetapi (parti mana) yang beri khidmat bakti kepada rakyat siapa? Bukankah BN,” katanya di hadapan lebih 100 penduduk Wangsa Maju ketika melancarkan Kelab Mesra Masyakat di perkarangan Balai Polis Wangsa Maju hari ini.

Shafie adalah calon BN pada PRU-13 lalu yang tewas kepada Kee Kwong dengan majoriti 5,511 undi.

Ujar Pengerusi UDA Holding Berhad itu lagi, BN adalah parti yang akan terus berkhidmat kepada masyakat biar pun tidak memegang kerusi berkenaan pada PRU-13 lalu.

“Saya dulu kalah (pada PRU-13) (adakah) saya duduk sahaja? Tetapi BN tidak macam itu. Sentiasa beri khidmat kepada rakyat.. walaupun kita kena kutuk,” katanya lagi.

Berdasarkan kepada rungutan penduduk, Shafie berkata, Ahli Parlimen Wangsa Maju sekarang sukar bertemu rakyat menyebabkan ramai penduduk merungut.

Malah katanya, ia sekaligus menyebabkan pengundi menghadapi kesukaran dalam mengetengahkan masalah kepada Kee Kwong.

“Di Wangsa Maju Maju kita perhatian pihak wakil rakyat ada penduduk yang menyatakan beliau sukar dilihat di kawasan dan selalunya akan turun jumpa rakyat bila masa sudah dekat dengan pilihan raya…itu pun asyik turun di pasar malam sahaja.

“Apabila ada isu yang hendak digembar-gemburkan, maka muka dia akan timbul. Bab khidmat bakti yang turun padang mendekati rakyat adalah Barisan Nasional. Itu terpulang kepada rakyat bagaimana nak nilai wakil rakyat yang dipilih,” katanya

UMNO Wangsa Maju katanya akan berusaha menggerakkan jentera pilihan raya di segenap kawasan bagi memastikan BN memenangi kerusi ini dalam usaha membela nasib pengundi.

“Bagi Bahagian Wangsa Maju, UMNO akan pastikan kerusi ini kita menang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.