Zamihan Mat Zin

KUALA LUMPUR – Peguam, Siti Kassim yang mendakwa tuhan tercipta daripada getaran baru-baru ini boleh menyebabkannya jatuh murtad dan kafir.

Pendakwah, Zamihan Al-Ghari berkata, sesiapa sahaja orang muslim yang menyifatkan Allah sama seperti makhluk maksudnya mereka sudah kafir.

“Kak Bedah (Siti Zabedah Kassim) kafir dan murtad. Kalau mati tak layak dikafan dan ditanam di tanah perkuburan Islam,” katanya dalam satu ceramahnya disiarkan media sosial baru-baru ini.

Siti Kassim sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa beliau mempunyai Islam versi sendiri dan menganggap tuhan tercipta daripada getaran.

Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) mempersoalkan kenapa orang agama takut menyatakan hukum itu bila berhadapan dengan mereka seperti Siti Kassim.

“Dia Exco Majlis Peguam yang mempertahankan hidangan arak baru-baru ini…ngaji tinggi tapi bodoh bertingkat-tingkat,” ujarnya sambil menambah Siti Kassim tidak mengenal Allah tetapi mahu bercakap mengenai ketuhanan.

“Kalau bukan Islam nak sokong arak ke, LGBT ke takpa la, ini orang Islam yang menjadi penentang,” kata Zamihan.

Selain itu, Pertubuhan Tarekat Muktabar yang pernah mempelawa Siti Kassim belajar mengenal tuhan melalui bantuan pihaknya hari ini mengumumkan pihaknya tidak pernah menyokong kenyataan peguam itu.

Menurut kenyataan, pihaknya berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tawaran kepada Siti Kassim itu hanya sebagai usaha membimbing bukan sependapat.-MalaysiaGazette