Iskandar Abd. Samad

SHAH ALAM – Pas Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti di peringkat pusat untuk menentukan sama ada tiga anggota Exconya kekal atau sebaliknya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Setakat ini, menurut Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abd. Samad, belum ada kata putus diterimanya daripada Presiden atau Biro Politik Pas Pusat.

“Atau mungkin keputusannya akan dibuat pada Muktamar Pas di Kedah akhir bulan depan. Kita di Selangor mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Selagi belum ada arahan (dari Pas Pusat), tiga wakil rakyat Pas ini akan kekal sebagai anggota Exco Kerajaan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewam Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Tiga anggota Exco itu termasuk beliau yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri; Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri) dan Zaidy Abdul Talib (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Sebelum ini, Iskandar mengulangi kenyataan yang sama iaitu pihaknya belum menerima kata putus mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan negeri dari Pas Pusat.

Menurut beliau, walaupun hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) terutama di Selangor dilihat tegang berikutan Pas memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan blok pembangkang, hubungan mereka dengan kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

“Apa saja keputusannya kita tunggu dari Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya. – MalaysiaGazette