KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah secara berperingkat sejak tahun 2010 untuk mengekang pertumbuhan nisbah hutang isi rumah berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, Kementerian Kewangan berkata, sebanyak 80 peratus daripada hutang isi rumah diambil daripada sistem perbankan dan 20 peratus daripada institusi kewangan bukan perbankan.

Katanya, bagi tempoh lima tahun (2012-2016), nisbah hutang isi rumah berubah-ubah, dengan tahun 2012 sebanyak 80.5 peratus, 86.2 peratus (2013), 86.8 peratus (2014) 2015:89.1 peratus (2015) dan 2016:84.4 peratus (2016).

“Lebih separuh daripada hutang isi rumah ini adalah untuk tujuan pembelian hartanah dan kenderaan, manakala pinjaman peribadi merangkumi 15 peratus dan kad kredit sekitar 3.5 peratus,” kata kementerian itu ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin).

Hassan meminta Menteri Kewangan menyatakan nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK untuk tempoh lima tahun dan langkah yang dilakukan kerajaan untuk mengurangkan tabiat penggunan yang suka meminjam untuk tujuan bukan keperluan.

“Antara langkah yang diambil ialah membekalkan rumah mampu milik seperti Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) yang dilihat mampu membantu mengurangkan beban golongan peminjam ini apabila harga yang ditawarkan berpatutan.

“Institusi kewangan juga mempunyai garis panduan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meluluskan pinjaman kepada golongan yang layak sahaja supaya dapat membendung tahap keberhutangan isi rumah,” katanya.

Selain itu kesedaran berkaitan pengurusan kewangan melalui ‘Program Pengurusan Wang Ringgit’ juga dipekenalkan bagi menyedarkan orang ramai terutama golongan yang baru memulakan pekerjaan supaya tidak berbelanja melebihi kemampuan.

“Kita juga mempunyai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bagi membantu mereka menyelesaikan serta menguruskan kewangan dengan teratur, dan setakat ini lebih 160,000 orang yang mengalami masalah pinjaman berjaya dibantu,” kata kementerian itu. – MalaysiaGazette