Seorang jurual memperbetulkan pakaian yang dipamer ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena cuti umum di Pusat Membeli Belah Sunway Pyramid, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 30 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR –Sentimen perniagaan di Malaysia meningkat pada suku kedua tahun ini buat pertama kalinya sejak tahun 2016 menurut kajian yang dilakukan oleh Dun and Bradstreet Inc.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Audrey Chia berkata, kajian tersebut digunakan sebagai pengiraan kepada Indeks Optimisme Perniagaan Suku Tahun (BOI) D&B Malaysia.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 3.07 mata peratusan dalam suku kedua berbanding 1.65 pada suku pertama tahun ini.

“Suku kedua 2017 dilihat akan meneruskan trend optimisme berhati-hati dalam komuniti perniagaan di Malaysia sejak suku pertama tahun lepas lagi,” katanya.

Tambah Audrey, kesemua petunjuk seperti jumlah jualan, keuntungan bersih, harga jualan, paras inventori, tempahan baharu dan pekerja meningkat secara sederhana.

Bagi perbandingan tahunan, indeks menyederhana kepada 3.07 mata peratusan berbanding 5.83 pada tempoh sama tahun lalu.

“Bagi perbandingan tahunan, hanya dua daripada enam petunjuk yang meningkat iaitu harga jualan (naik 10.95 mata peratusan berbanding 4.0 sebelumnya) dan paras inventori (meningkat 4.98 mata peratusan berbanding 4.5),” tambahnya.

Menurut Audrey, pelaburan berterusan kerajaan dalam projek pengangkutan awam dan aktiviti pengeluaran dijangka menjadi pemangkin keyakinan komersial bagi kedua-dua sektor dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Bagaimanapun, kami masih melihat tanda-tanda lemah dalam sektor kewangan meskipun sudah terdapat sedikit peningkatan.

“Kami mengunjurkan sektor tersebut akan kekal senyap dengan ringgit terperangkap dalam masalah campur tangan dan penyusutan nilai, begitu juga dengan kelembapan bagi pinjaman korporat serta pertumbuhan pinjaman isi rumah bagi jangka masa pendek.- MalaysiaGazette