Bukan Parlimen Johor Bahru tetapi Lim Kit Siang akan mempertahankan kerusi parlimen Gelang Patah yang disandangnya yang kini ditukar nama kepada Iskandar Puteri.
Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR – Selepas dikecam dan diasak bertubi-tubi oleh banyak pihak berhubung tindakannya cuba menghalang usul persendirian Rang Undang-Undang 355 akhirnya membuatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berdolak dalih dengan pelbagai alasan.

Antaranya Kit Siang mendakwa tujuan beliau bangun mencelah ketika itu kerana hendak bertanya apa istimewanya Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa menangguhkan lima lagi rang undang-undang yang sebelum ini disenaraikan mendahului usul persendirian itu.

Sedangkan katanya, sebelum ini iaitu pada Jun dan Disember tahun lalu, Presiden Pas itu sudah diberi ruang oleh pihak kerajaan untuk membentangkan usul RUU 355 tetapi ditangguhkannya sendiri.

“Apa ertinya kerajaan meminta supaya speaker memberi keutamaan kepada usul Abdul Hadi, sedangkan parti kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak berbuat demikian?

“Adakah keputusan konsensus Barisan Nasional (BN) itu tidak membawa sebarang erti dan hanya lakonan semata-mata bagi menunjukkan kepada penyokong MCA, Gerakan dan MIC serta parti-parti Sabah dan Sarawak bahawa BN tidak akan bersekongkol dengan usaha Islamisasi ala Hadi?

“Dan lagi, tiada seorang pun wakil rakyat dari komponen BN bangkit membela keputusan konsensus apabila Abdul Hadi yang diberikan satu hari suntuk untuk membentang dan membahas usul penuh kontroversi itu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan lidah rasmi DAP, Roketkini hari ini.

Kit Siang mendakwa, beliau bangun ketika itu tanpa menyentuh langsung usul Abdul Hadi, bahkan menyerang pimpinan BN terutama MCA dan Gerakan yang tempoh hari gembira apabila keputusan dibuat untuk kerajaan tidak mengambil alih usul itu.

Katanya, setelah komponen BN itu beria-ia mendabik dada kononnya mereka berjaya menghalang usul itu, wakil rakyat UMNO pula akhirnya kelihatan beria-ia menepuk meja dan menyatakan sokongan kepada ucapan Presiden Pas itu.

Pada hari akhir sesi persidangan semalam, Abdul Hadi membentangkan usul RUU 355 di Dewan Rakyat, walaupun diganggu oleh beberapa ahli parlimen pembangkang sebelum beliau menghabiskan ucapannya.

Perbuatan pembangkang itu yang membangkitkan beberapa perkara dengan Pandikar Amin, telah melengahkan masa kira-kira 30 minit sebelum Abdul Hadi dapat membentangkan usul berkenaan atas sifat rang undang-undang persendirian.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain adalah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun, hukuman denda maksimum sehingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.

Pada masa ini, Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum sehingga RM5,000 dan enam kali sebatan rotan. – MalaysiaGazette