Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Datuk Mahfuz Omar membidas tindakan presiden partinya sendiri yang mendiamkan diri mengenai langkah penangguhan sesi perbahasan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena yang berkata, sebagai pembentang kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 atau Akta 355, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya bangun dan mempersoalkan tindakan Pandikar yang tiba-tiba menangguhkan usul berkenaan tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Bagi saya,sepatutnya pembentang usul (Abdul Hadi) dan penyokong usul, Ahli Parlimen Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) sepatutnya bangun membantah tindakan speaker menangguhkan dewan dan meminta dibahas bagi mempercepatkan proses dan hasrat Pas selama ini untuk Enakmen Syariah di Kelantan itu dapat dilaksanakan.

“Walaupun diluluskan, usul berkenaan belum boleh dilaksanakan. Sekiranya diluluskan (semalam) kerajaan akan bawa rang undang-undang sebenar pada Julai depan. Ini bulan Julai baru nak bahas. Itu pun kalau dibenarkan,” katanya kepada media selepas menghadiri seminar Commonwealth Women Parliamentarians South East Regional di Dewan Bankuet, Parlimen hari ini yang turut dihadiri Pandikar.

Dewan Rakyat yang berakhir semalam ditangguh sehingga 24 Jun depan bagi sesi perbahasan dan pengundian RUU355 yang dibentangkan Hadi.

Tindakan yang dibuat Pandikar itu nyata mendapat tentangan hebat daripada daripada beberapa Ahli Parlimen pembangkang terutamanya Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang bangun berulang kali mempersoalkan tindakan Pandikar sambil dijawab dengan teriakan beberapa wakil rakyat BN.

 

Justeru Mahfuz berkata beliau kecewa dengan tindakan Pandikar kerana berpendapat tidak wajar seorang speaker untuk menggunakan kuasa beliau dalam menangguhkan perbahasan tatkala ramai ahli parlimen yang sudah bersedia untuk berbahas mengenai pindaan itu terutamanya daripada Pas.

“Satu yang sangat mengecewakan saya apabila perbahasan dan pengundian usul itu ditangguhkan dan ia sangat tidak wajar walaupun speaker dewan berkata menggunakan kuasa beliau untuk menunjukkan beliau berkuasa bukan bloody fool tetapi kenyataan Presiden MIC sangat jelas menyatakan bahawa itu adalah keputusan Dewan Tertinggi BN yang tidak ada perbahasan dan pengundian.

“Ini bermakna kenyataan Presiden MIC membawa maksud keputusan Speaker Dewan Rakyat bukan keputusan peribadi beliau Tapi itu adalah keputusan Dewan Tertinggi BN untuk speaker menangguhkan usul berkenaan.

“Ini bermaksud bahawa speaker tidak berkuasa tetapi bodoh. Bukan saya kata, tapi ini adalah kata-kata Presiden MIC.

“Saya melihat bahawa ini menunjukkan politik BN menjadikan Parlimen sebagai pentas bangsawan untuk buat apa-apa pertunjukan teater bagi meredakan keadaan tertentu untuk kepentingan politik BN,” katanya merujuk kepada insiden berkenaan.

Ekoran itu, semua 222 Ahli Parlimen terpaksa menunggu sehingga 24 Jun depan bagi sesi perbahasan dan pengundian secara muktamat samada menerima atau tidak pindaan RUU355 yang dibawa Hadi bagi memperkasakan Mahmakah Syariah. -MalaysiaGazette.