Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU355 untuk memperkukuhkan perundangan Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 06 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Sikap gelojoh dan kelam kabut Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang membidas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika menangguhkan sesi dewan pada Khamis mencerminkan sikap sebenar mereka terhadap Rang Undang-Undang 355. (RUU355).

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata,  tindak tanduk tidak profesional pembangkang sudah tentu akan menjauhkan sokongan pengundi Islam dari PH di samping berpotensi meranapkan terus kerjasama politik antara Pas.

“Berdasarkan maklum balas diterima, tindak-tanduk Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mengganggu Hadi dalam Dewan Rakyat Khamis lalu menguatkan lagi persepsi pengundi Islam bahawa label anti Islam yang digunakan terhadap DAP adalah benar.

“Sepatutnya, jika DAP serius mahu membaiki imejnya di mata pengundi Islam, Ahli-ahli Parlimennya perlu mengelakkan diri dari menimbulkan perkara-perkara yang boleh ditanggapi sebagai usaha menentang pemartabatan kedudukan mahkamah syariah di negara ini, tetapi bila mereka berbuat demikian pastilah imej mereka semakin tercalar,” kata Kamarul.

 Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr Kamarul Zaman Yusoff

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, DAP jelas menimbulkan kekecohan apabila sebelum ini tegas menolak perbentangan RUU berkenaan sehingga mengakibatkan Pakatan Rakyat terkubur pada tahun 2015.

“Nama DAP sendiri adalah Parti Tindakan Demokratik, jadi seharusnya Ahli-ahli Parlimen DAP mengamalkan sikap terbuka dengan memberikan ruang seluasnya kepada mana-mana ahli parlimen yang mahu menggunakan hak demokratik mereka untuk mengemukakan apa sahaja usul di Dewan Rakyat, malangnya apa yang berlaku adalah di sebaliknya.

“Seperti ditegaskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, jika DAP mahu pun mana-mana pihak lain berpendapat bahawa mana-mana undang-undang yang diluluskan adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, cabaran ke atasnya boleh dibuat di mahkamah setelah ia diluluskan, bukan sebelum ia diluluskan”, katanya.

Kamarul, yang juga Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), berkata demikian sewaktu mengulas cubaan beberapa pemimpin PH menghalang Abdul Hadi dari berucap membentangkan pindaan RUU355 dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu.

Katanya, implikasi lebih besar timbul apabila tindakan serupa oleh dua Ahli Parlimen PKR, iaitu Dr Lee Boon Chye (Gopeng) dan Gooi Hsiao-Leung (Alor Setar), mempersoalkan kewajaran memberi keutamaan kepada Hadi serta mempertikaikan perkenan Majlis Raja-Raja yang didakwa tidak diperolehi, sedangkan Pas dan PKR masih mempunyai jalinan kerjasama politik.

“Banyak Pas kawasan termasuk dewan-dewan Pas di seluruh negara telah meluluskan usul menggesa PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR dalam muktamar masing-masing, jadi dengan perkembangan terbaru yang membuktikan kegagalan PKR menghormati perjuangan Pas ini maka diyakini gema menuntut pemutusan hubungan akan menjadi lebih kuat.

“Pemimpin PKR boleh mencipta pelbagai alasan untuk membela diri, tetapi kenyataan muka buku Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya, Wong Chen, bahawa mesyuarat Pre-Council PKR memutuskan menolak RUU 355 pada pagi sebelum Hadi berucap sudah tentu menyukarkan PKR menepis tanggapan bahawa ia menolak RUU 355,” tegasnya. -MalaysiaGazette.